BURMA, INGGERIS DAN MELAYU MENGHADAPI SIAM
Sultan Ahmad Tajuddin mengutuskan Cik Lanang, Cik Muhamad Ali, Penghulu Sira dan Nakhuda Sembuang menemui Raja Burma supaya membantu Kedah. Raja Burma bersimpati dengan nasib Sultan Ahmad Tajuddin dan ingin mengetahui kedudukan yang lebih pasti sebelum menghulurkan bantuannya. Buat sementara waktu Raja Burma hanya dapat mengirimkan hadiah empat puluh koyan beras dan lain-lain kepada sultan. Raja Burma meminta Sultan Kedah mengirimkan kepadanya beberapa bahara bijih timah untuk dibuat bumbong istananya dan bagi harga bijih timah itu dikirimnya pada 30 koyan beras yang berasingan.
Surat dari Raja Burma sedap juga bunyinya jika dibandingkan dengan surat orang-orang hari ini: ‘Inilah surat daripada kami, “katanya, “Raja Tawai Singgahsana Emas kepada Raja Kedah yang memerintah 118 buah bandar; Memaklumkan bahawa kami telah menerima maklumat-maklumat bahawa Siam telah mencabul negeri Kedah. Terimalah hadiah kami yang tidak sepertinya iaitu satu persalinan pakaian dari kain Burma yang halus, sekaki payung berkaki panjang, sebuah pelana menunggang kuda, meja makan dari kayu yang berempelas dan berlakar. Terima kasih atas hadiah sebuah jam besar yang dipersampaikan oleh Cik Lanang dan Cik Muhamad Ali”.
Anihnya raja Singgahsana Emas ini memerlukan timah dari Kedah untuk bumbung Singgahsana emasnya. Dan malangnya Inggeris sedang bermusuhan dengan Burma. Isi-isi surat ini semuanya diberitahu kepada Siam dan Inggeris lantas menyerang negeri Burma dan menduduki Tenassirim, Tawai dan Margi dalam tahun 1824 juga.
Kebimbangan Siam akan meluru ke Perak dan menjajah seluruh Semenanjung Melayu dalam tahun 1824 dirasa oleh Kerajaan Inggeris di Pulau Pinang. Bagi menyekat nikat Siam, Inggeris menghantar Kapten Burney ke Kuala Kedah dan membuat perjanjian dengan Chow Than iaitu Cau Phya Nakon Si Tammarat. Di Kuala Kedah, Burney telah mengaku tidak akan mengganggu Kebebasan Siam mentadbir negeri Kedah dan akan menolong Siam menyekat dan memusnahkan pemberontakan orang-orang Melayu terhadap Siam. Siam mengaku tidak akan menyerang Perak atau Selangor.
Niat Siam yang sebenarnya ialah hendak menyerang Pulau Pinang dan mengambil Sultan Ahmad Tajuddin. Tetapi kerana Burney pandai menyebut “Kap” kepada semua kehendak-kehendak Cau Phya Nakon Si Tammarat, Pulau Pinang terselamat.
Burney dihantar ke Bangkok dalam tahun 1826 kerana merundingkan beberapa hal termasuklah perkara mengembalikan Sultan Kedah ke atas takhtanya semula. Entah bagaimana, Burney membuat pengakuan bahawa Siam adalah berhak memerintah negeri Kedah. Burney masih mengaku “Kap” kepada Raja Siam di Bangkok. (“Kap”dalam bahasa Siam ialah “Yes Sir” dalam Bahasa Henry Burney) dan “Kap” lagi apabila Raja Siam mendesak Inggeris menyekat pemberontak-pemberontak Melayu mengusir Siam dari Negeri Kedah dan “Kap” lagi supaya Sultan Ahmad Tajuddin di “buang negeri” jauh dari Wilayah Siam.
Captain Henry Burney berkhidmat dengan Bengal Native Infantry dan biasa berperang di Tanah Jawa di bawah arahan Lord Minto. Selepas itu beliau tinggal di Pulau Pinang menjadi Setiausaha Militari kepada Gabenor Pulau Pinang. Burney lancar berbahasa Thai dan Melayu. Perjanjian yang dibuat di Bangkok antara Burney dengan Maharaja Siam ialah lanjutan yang lebih muktamad dari perjanjian asas antara beliau sendiri dengan Cau Phya Nakon Si Tammarat di Kuala Kedah. Perjanjian Bangkok 1826 ini digubah dalam Bahasa Thai terlebih dahulu dan Burney amat riang sekali kerana dapat menggunakan bahasa itu dengan Maharaja Siam sendiri serta menteri-menterinya. Apabila warkah Siam itu hendak diterjemahkan ke Bahasa Inggeris timbullah kelamkabutnya kerana ayat-ayat bahasa Siam boleh diterjemahkan ke tiga atau empat maksud dalam Bahasa Inggeris.
Sultan Kedah membantah keras persetujuan yang dibuat oleh Burney dan Baginda tidak ingin berganjak dari Pulau Pinang. Gabenor Inggeris di Pulau Pinang tidak dapt berbuat apa-apa kerana pendapat umum di Pulau Pinang menyebelahi Sultan Ahmad Tajuddin dan Captain Henry Burney pulang ke Pulau Pinang menjadi tumpuan ejekan orang-orang yang mengikuti kegagalannya di Bangkok. Gabenor Inggeris di Pulau Pinang pada masa itu tidak senang dengan pencapaian yang dibuat oleh Burney dan kesal atas sikap Burney yang dianggap terlalu “kap”dengan Siam. Burney telah dituduh sebagai pengkhianat menjualkan Kedah kepada Siam kerana mengakui Kedah bulau-bulat sebagai Wilayah Siam. Sebelum ini Kedah dipandang sebagai Wilayah Melayu yang berdaulat oleh Inggeris.
Terdengar bisikan kononnya Gabenor Legor meminta Gabenor Pulau Pinang membayar sepuluh ribu ringgit wang pajakan Pulau Pinang itu kepadanya kerana dialah yang menjadi tuan negeri Kedah sekarang. Siam mendakwa bahawa dengan wang elaun itulah Sultan melancarkan serangan-serangan ke atas Siam tetapi Inggeris meyakinkan Siam bahawa Sultan tidak dapat berbuat apa-apa kerana setiap gerakgeri baginda diperhati dan dikawal ketat.
Selepas ini inggeris mulalah menggunakan elaun sepuluh ribu ini sebagai satu senjata menekankan Sultan untuk akur dengan kehendak-kehendak mereka. Silap sedikit sahaja elaun Sultan di tahan atau diperkurangkan.
Inggeris mahukan beras dan gula dari Siam. Sedangkan Siam mahukan candu dan kain-kain India dari Inggeris. Sementara itu Inggeris memerlukan pula bijih timah dari Kedah, Petani, Perak dan Ujung Selang. Inggeris menyerang Burma dengan harapan Siam akan membantunya menundukkan negeri itu tetapi polisi Siam selama ini ialah melaga-lagakan orang lain supaya dia sahaja yang kuat.
Mengadakan perhubungan dengan Siam adalah seperti menjaga minyak yang penuh.
Orang-orang Melayu masih ramai yang tinggal di Kedah di bawah pemerintahan Siam. Sekurang-kurangnya dua puluh ribu orang masih berada di Kedah dalam tahun 1825. Tentera-tentera Siam yang menjalankan pentadbiran negeri pada satu-satu masa tidak lebih dari lima ratus orang. Orang-orang Melayu sendiri yang ramai mengawal kota-kota dan benteng-benteng mustahak sebagai orang-orang upahan Siam.
Nakhoda Udin umpamanya ialah seorang Lanun yang handal dari Legor, mengganas di Kurau dalam Negeri Perak bagi pihak Nakorn Si Tammarat. Apabila ditangkap oleh James Low beliau di bela oleh Gabnor Legor dan pegawai Inggeris yang menangkapnya di gantung kerja. Bagaimanapun Inggeris menghantarnya ke Legor dengan Lapuran Panjang mengenai aktiviti-aktivitinya di perairan Semenanjung supaya dihukum sendiri oleh Gabnor Legor. Di Legor, Nakhoda Udin tidak dihukum malahan diberi persalinan oleh Cau Phya Nakorn Si Tammarat dengan hadiah-hadiah yang istimewa pula.
Nakhoda Udin ditemui sekali lagi di Pulau Bunting dan Kuala Merbok mengepalai satu angkatan tiga belas atau empat belas buah perahu membantu Inggeris mengusir perahu-perahu Melayu yang mungkin ingin mendarat di situ.
Pengikut-pengikut Nakhoda Udin terdiri dari orang-orang Melayu yang kadang-kadangnya lebih ganas dari orang-orang Siam. Di Kota Kuala Muda seorang panglima Melayu bernama Tok Mohd. Noor amat ditakuti oleh orang-orang di sana. Kemungkinan besar ia mempunyai hubungan rapat dengan Nakhoda Udin, siang tidur dan malam berjaga.
Apabila Tunku Kudin berkuasa di Kedah dalam tahun 1830 ramai juga orang-orang Melayu yang belot kepada raja dan tanahair di musnahkan bersama dengan tentera-tentera siam. Terdapat seorang anak raja yang tidak sempat dihukum oleh Tunku Kudin tetapi menerima hukuman yang lebih dahsyat dari tangan siam yang dianggap rakan karibnya.
Adik Sultan Ahmad Tajuddin sendiri, Tunku Yaakub, sebapa lain ibu, dikenali juga sebagai Tunku Embun telah memohon kepada Sultan Ahmad Tajuddin untuk memerintah Perlis dan Setol. Berkali-kali permohonannya ditolak oleh Sultan kerana Tunku Yaakub hendak dijadikan raja Muda dan Perlis dengan Setol hendak diberikan kepada Tunku-Tunku lain. Tunku Yaakub melayani perasaan tersinggongnya terus membawa diri ke Legor.
Tunku Yaakub mengadap Cau Phaya Legor menyembahkan laporan-laporan peri Sultan Ahmad Tajuddin kononnya tidak mentadbirkan Negeri Kedah dengan sempurna dan sedang bercadang hendak mengubahkan ibu negeri dari Kuala Kedah ke Kota Kuala Muda supaya lebih jauh dari Cau Phaya Nakorn Si Tammarat. Tunku Yaakub sendiri membuat pengakuan akan bersedia membantu Legor kiranya Legor hendak menyerang Negeri Kedah. Tunku Yaakub atau Tunku Embun seterusnya bersubahat dengan Cau Phaya Legor mengaturkan strategi memasuki Negeri Kedah dari jalan laut dan jalan darat. Kejayaan Siam menduduki Negeri Kedah dalam tahun 1821 bersabit besar dengan bantuan pribadi dari Tunku Yaakub ini.
Kedah terus dipecah empat kepada Wilayah Setol, Kubang Pasu, Perlis dan Saiburi iaitu kawasan Kedah yang berbaki dari tiga wilayah tadi. Setol diperintah oleh Tunku Bisnu adik Sultan Ahmad Tajuddin, Perlis oleh Syed Hussein bin Syed harun Jamalullail anak saudara Sultan dan Kubang Pasu diperintah oleh Tunku Anum: anak saudara baginda juga. Masa ini sempadan Kubang Pasu di utara letaknya di Sadoo dan lebih luas dari keadaannya sekarang. Saiburi diberi kepada Tunku Yaakub. Raja-raja ini memerintah dibawah arahan Cau Phya Nakorn Si Tammarat yang diwakili oleh dua orang anaknya.
Kejayaan Tunku Kudin menduduki Negeri Kedah buat beberapa waktu telah menggemparkan Inggeris dan memberi kesan besar kepada Legor kerana ramai tentera-tenteranya menjadi korban. Legor dapat mengukur kekuatan Melayu dan hakikatnya amat mencemaskan. Apabila Siam menduduki Kedah semula selepas Tunku Kudin dapat dipatahkan, sikap dan reaksi Siam telah berubah. Mereka tidak lagi mempercayai orang-orang Melayu.
Phra Sena Nuchit, Timbalan Gabnor di Kedah dikenali sebagai Chum Pabian, yang memerintah Kedah bagi pihak abangnya mempersilakan Tunku Yaakub dan anaknya Tunku Sulaiman supaya datang ke Balai Alor Ganu selepas sembahyang Hari Raya Haji tahun 1831 (1244 Hijrah). Dalam perjumpaan itu Chum Pabian memberitahu Tunku Yaakub supaya bersedia menjalankan tugasnya semula sebagai Sultan. Apabila Tunku Yaakub menyatakan kesediaannya dan sanggup menjadi sultan, Chum Pabian mengarahkan beliau dan anaknya Tunku Sulaiman supaya berpakaian lengkap sebagai Sultan yang penuh kebesaran dan berangkat ke masjid membuat kenduri aruah kemudian berangkat pula ke makam datok neneknya membaca doa di sana sebelum ditabalkan menjadi Sultan Kedah.
Upacara itu dilangsungkan pada Hari Raya Ketiga oleh Tunku Yaakub dengan pengikut-pengikutnya. Tetapi malangnya, apabila Tunku Yaakub dan Tunku Sulaiman sampai di Langgar, dipinggir Makam Datok Neneknya, beliau telah ditangkap oleh tentera-tentera Siam. Di situ juga mereka berdua telah diikat dan dihamun seranah oleh Chum Pabian. Chum Pabian mengungkit kegiatan Tunku Yaakub mendesak ayahnya Cau Phya Nakorn Si Tammarat supaya menyerang Kedah dan menyingkirkan Sultan Ahmad Tajuddin. Kemudian Tunku yaakub dituduh pula bekerjasama dengan Tunku Kudin membunuh orang-orang Siam. Chum Pabian sendiri menghunus goloknya dan membelah dada Tunku Yaakub dan Tunku Sulaiman; dia hendak melihat hati anak raja yang mengkhianati raja dan bangsanya, kemudian mengkhianati pula rakan dan tuannya.
Siam mengkebumi anak raja dua beranak ini didalam Kota Makam Di Raja Di Langgar. Tetapi apabila Sultan Ahmad Tajuddin balik memerintah Kedah semula dalam tahun 1843, mayat-mayat anakraja dua beranak ini dikeluarkan semula, dimandi, dikapan dan ditahlilkan kemudian dikebumikan diluar kota. Apabila makam ini iperluaskan, makam anakraja dua beranak ini termasuk kedalam kota tetapi hingga kini tidak terhias, tidak berbina dan jarang-jarang dilawati orang.
KEDAH BERSIAP HABIS-HABISAN
Apabila Siam berjaya menduduki semula Kota Kuala Kedah selepas merebutnya dari tangan Tunku Kudin, mereka mulalah membuat desakan supaya Sultan Ahmad Tajuddin yang tinggal di Pulau Pinang di serah kepada mereka untuk di bawa ke Bangkok. Inggeris mengawal Istana Kedah di Jalan Kelawai tempat Sultan Ahmad Tajuddin bersemayam dengan ketatnya. Bukan sahaja takut Tunku Sultan di colek oleh orang-orang Siam tetapi lebih takut kepada manusia di Pulau Pinang yang mungkin memakan upah dari Siam dan membuat tindakan yang boleh merugikan kepentingan Inggeris, jadi Sultan Ahmad Tajuddin hidup selama ini sebagai orang tahanan di dalam rumah tak boleh keluar dan tak boleh membuat perhubungan dengan dunia luar.
Untuk menyenangkan pengawalan, Inggeris telah memaksa Sultan supaya berpindah ke Melaka. Tetapi Sultan telah enggan berbuat demikian kerana ini akan menjauhkan baginda dari pengikut-pengikutnya yang setia dan boleh mematahkan semangat perwira-perwira Melayu yang memandang baginda sebagai tonggak kedaulatan yang mesti dikembalikan semula ke atas takhta di Kedah.
Hujung tahun 1831 Siam mendesak Inggeris supaya Sultan di pindahkan ke mana-mana tempat lain dari Pulau Pinang, Seberang Perai, Perak, Selangor atau Burma. Inggeris memilih Melaka untuk Sultan dan membawa baginda anak beranak berangkat ke Kampung Pantai di Melaka dengan hujung benet di belakang baginda.
Di Melaka, Sultan Ahmad Tajuddin dikerumuni oleh pengikut-pengikutnya yang setia dan di antaranya terdapat beberapa orang kesatria dari Petani. Orang-orang Petani telah berhijrah meninggalkan kampung halaman mereka kerana Siam telah melanggar negeri itu dalam tahun 1832 dan ramai orang-orang Petani yang berhijrah ke Perak, dan membuka kampung halaman di sana.
Raja Petani telah berundur ke Kelantan kerana di sana berada empat orang saudaranya yang menjadi Raja-raja Kecil di empat buah wilayah di Kelantan. Tentera-tentera Siam telah menyerang Kelantan dan mendesak orang-orang Kelantan supaya menyerahkan Raja Petani dan empat orang saudaranya kepada mereka. Kalau tidak, Kelantan akan menerima nasib seperti Kedah dan Petani juga. Masa inilah orang-orang Kelantan telah bertindak menyerahkan Raja Petani lima bersaudara kepada Siam dan membut sumbangan sebanyak epat puluh ribu ringgit duit Sepanyol dan sepikul emas urai pula sebagai pemujuk supaya Kelantan tidak di apa-apakan.
Entah bagaimana Siam berpuas hati menerima Raja Petani seorang sahaja menjadi tawanannya dan wang Sepanyol tiga puluh ribu ringgit serta enam urai sepuluh kati. Siam pun baliklah ke Bangkok mengheret Raja Petani dan anak pinaknya yang di ikat dengan rantai besi bersama-sama.
Enam minggu kemudian, lebih daripada empat ribu orang rakyat Petani, Senggora dan lain-lain wilayah Melayu di cucuk telinga masing-masing dengan rotan sega lalu di yong naik kapal di bawa ke Bangkok menjadi hamba abdi. Orang-orang Petani yang sempat berhijrah ke Kelantan dan Perak terselamat dari malapetaka ini. Diantaranya ramai yang berhasrat membantu Sultan Ahmad Tajuddin menewaskan Siam, dan mula menghantar rombongan-rombongan kecil ke Kedah, ke Pulau Pinang dan ke Melaka.
Tak semena-mena, Sultan meminta izin Inggeris menziarahi keluarganya di Siak. Kebenaran di beri dan Sultan pun bersiap. Tetapi Inggeris terkejut melihat Sultan Ahmad Tajuddin berkelencong ke Bruas di Perak dan di Bruas baginda telah mengumpul ramai pahlawan-pahlawan Melayu untuk menyerang Siam di Kedah. Inggeris telah berkasar dengan baginda secara menghantar sepahi-sepahi membedilkan kota buluh yang dibuat oleh orang Bruas dan memaksa baginda menaiki kapal mereka dan menghantar baginda balik ke Melaka.
Kapal “Zephyr” telah diarah mengawasi orang-orang Melayu di Bruas. “Zephyr” melapurkan dalam bulan April, 1836 bahawa orang-orang Melayu masih lagi membut persediaan hendak berperang, masing-masing sebok ke sana ke mari mengumpul ubat bedil dan ada kabarnya Belanda telah memberi sokongan moral dan material kepada orang-orang Bruas. Raja Muda Perak sendiri sampai di Bruas dengan 40 buah perahu, penuh memuatkan panglima-panglima perang yang rela sehidup semati dengan orang-orang Kedah.
Gabenor Pulau Pinang melarang “Zephyr” bergerak dari Bruas supaya sebarang kebangkita dapat dipadamkan segera. Bagi menjamin keselamatan Pulau Pinang, Gabnor Inggeris telah menyewa dua buah kapal yang dilengkapi dengan meriam-meriam supaya membedilkan angkatan laut Melayu dari Perak yang melintasi Selat dihadapan Pelabuhan Pulau Pinang. Inggeris mesti mengekalkan persefahaman yang baik dengan Siam. Bagaimanapun Gabenor Murchison telah membuat lapuran ke India dengan meminta nasihat yang perlu. India menghantar 2 buah kapal perang membantu Gabenor yang sedang ketar di dalam seluarnya kerana besar kemungkinan orang-orang Melayu akan menyerang Pulau Pinang juga iaitu sebagai membersihkan anasir-anasir yang boleh menganggu pencapaian cita-cita mereka.
Setakat ini Pulau Pinang tidak lagi membuktikan bahawa “Kedah dan Pulau Pinang itu satu negeri” seperti yang tercatit dalam teriti 1800 yang membolehkan mereka menduduki Pulau itu.
Kapal perang “Andromache” dan “Releigh” membuat rondaan dari Pulau Pinang hingga ke Langkawi dan di perintah supaya membedil perompak-perompak yang menganggu perniagaan orang-orang Inggeris dan kedaulatan orang-orang Siam di Laut Kedah.
Dalam bulan Mei, 1836, Gabnor Murchison bernafas lega kerana dapat membuat lapuran bahawa beliau telah berjaya memisahkan Perak dengan Kedah dan orang-orang Melayu sudah tidak berminat hendak berperang menentang Siam. Selepas membuat lapuran ini beliau meminta cuti panjang dan meminta supaya dilepaskan dirinya dari menjadi Gabnor Pulau Pinang lagi.
Bonham yang menggantikan Gabnor Murchison memberitahu India bahawa 40 buah perahu Raja Muda Perak itu sebenarnya bukan perahu perang tetapi perahu bijih timah yang sarat meniti buih menuju ke Pulau Pinang hendak menjual jongkong-jongkongnya kepada sahabat-sahabat mereka orang-orang Inggeris.
Orang-orang Awam di Pulau Pinang tidak sedap hati. Ramai orang-orang di Pulau Pinang yang menanam harta mereka dari barang-barang kemas, permata, ringgit Sepanyol, dan barang-barang tembikar ke dalam bumi atau menghantarnya keluar negeri, ke Singapura atau ke India. Dunia mesti menghadapi peperangan besar sebab wang-wang jualan bijih timah 40 buah perahu tadi semuanya di buat membeli senapang dan ubat bedil.
PERTEMPURAN DI PULAU BIDAN
DALAM BULAN JULAI 1838 bersamaan bulan Muharram 1244 Tunku Muhammad Saad telah melancarkan angkatan perangnya dari Kuala Merbuk untuk mara ke Terang dan mengusir Siam dari bumi Kedah buat selama-lamanya, dari utara turun ke selatan.
Tunku Muhamad Saad ialah anak saudara Sultan Ahmad Tajuddin dan pernah menjadi tawanan Siam di Legor. Chuping telinganya masih berkerutut seperti kulit limau purut kesan dikarang rotan sega.
Tunku Muhamad Saad di bantu oleh Tunku Muhamad Akib, seorang lagi anak saudara Sultan Ahmad Tajuddin telah merancangkan segala-galanya denga penuh teliti. Mereka telah berjaya mengumpulkan orang-orang Melayu berdiri tegap dibelakang perjuangan ini dan telah melantik Tunku Abdullah, putera sulung Sultan Ahmad Tajuddin menjadi kepala jemaah panglima-panglima perang.
Satu angkatan laut yang berdisiplin di wujudkan di bawah amirul bahr atau Laksamananya iaitu Dato’ Muhamad Ali bin Dato’ Kerma Jaya dari Langkawi yang diberi gelaran Dato’ Setia Segera.
Dato’ Muhamad Ali telah diutus oleh Tunku Muhamad Saad ke Batu Bara di Acheh beberapa lama untuk melengkapkan sebuah angkatan laut yang besar mengandungi beratus-ratus buah perahu besar dan perahu panjang.
Di bawah kelolaan Dato’ Muhamad Ali Setia Segera diletakkan dua buah ketumbuk yang dipanggil “Sayap Kanan” dan “Sayap Kiri”. “Sayap Kanan” diketuai oleh Nakhoda Lanang Pati. Bahagian belakang yang dipanggil “Ketumbuk Ekor” mengandungi jumlah perahu yang besar sekali terdiri dari pelbagai jenis perahu dan kenaikan air orang Melayu di kawal oleh Dato’ Muhamad Ali sendiri. Tiap-tiap sayap dan ekor di beri arahan-arahan tertentu dan jumlah perahu-perahu semuanya menjadi rahsia yang tidak pernah disebut-sebut orang. Hingga kehari ini masih lagi tidak diketahui jumlahnya yang sebenar. Dato’ Muhamad Ali dibantu oleh Panglima Muhamad Taib Hitam menyusun angkatan perang yang akan bertindak dari belakang.
Sekali ini orang Melayu melancarkan perjuangan yang terakhir hingga sudah ada yang berani menunjulkan perjuangan ini sebagai Perang Sabil. Orang-orang Melayu dari Acheh dan Sumatera, dari Petani dan Perak, dari Pulau Pinang dan Langkawi, dari tanah yang terjajah di Setol, Terang, Kedah dan Perlis. Demikian juga Melayu-melayu yang lain berkeliaran di dalam laut dan terpencil di pulau-pulau yang tidak bernama dikenali sebagai lanun dan perompak, telah bersatu tikad untuk menebus kembali Negeri Kedah dari tangan Siam dibawah pimpinan Tunku Muhamad Saad.
Masih ada orang menyebut bahawa Tunku Muhamad Saad mempunyai Ilmu Pengasihan. Orang yang tak mahu berperang pun sanggup meninggalkan anak isteri berjalan dibelakang Tunku Muhamad Saad masuk kedalam hutan membaharui latihan bersilat dan siasah peperangan masa itu. Kononnya ramai anak-anak muda belasan tahun yang sanggup menggadai nyawa menebus tanah air bersama-sama Tunku Muhamad Saad dan ini telah menarik bapa-bapa dan datuk-datuk mereka menjadi malu dan tak tentu arah. Dengan itu bapa-bapa dan datuk-datuk ini turut melibatkan diri juga sebagai pejuang dibarisan hadapan meninggalkan yang terlalu dzaif dengan orang-orang perempuan mengawal kampong halaman dan sawah padi mereka. Umur panjang bertemu kembali, pantang hidup bercerminkan bangkai. Kalau takdir menemui ajal, disyorga kita bertemu sebab mati hanya sekali dan mati kali ini ialah mati syahid.
Angkatan laut Tunku Muhamad Saad bermalam di Pulau Empat Beradik iaitu di Pulau Telor, Pulau Songsong, Pulau Bidan dan Pulau Bunting. Sedang nyenyak tidur, angkatan yang berteduh di Pulau Songsong dan Pulau Bunting telah diserang oleh sebuah angkatan laut kecil dari pehak Siam.
Seorang panglima yang perkasa berasal dari Selibis bernama Panglima Yu mengepalai angkatan Siam itu telah bertemu dengan Dato’ Muhamad Ali Setia Segara di Pantai Pulau Songsong dan mereka telah beradu kekuatan dan kesaktian masing-masing dengan menggunakan tipu muslihat ilmu peperangan, ilmu sihir dan sebagainya.
Seorang lagi hulubalang Siam bernama Panglima Barim, seorang Melayu asalnya bernama Ibrahim yang gagah berani tetapi tersasul menyebelahi pihak Siam. Panglima Barim amat handal melontar lembing batang pendek dari perahunya tepat menemui sasaran iaitu ditengah-tengah belakang perwira-perwira Melayu yang berada lima puluh ela darinya.
Ramai pejuang-pejuang Melayu yang sedang rehat malam itu menemui ajal mereka di Pulau Songsong dan di Pulau Bunting; belum lagi jauh dari kampung halaman yang mereka tinggalkan di Penaga dan di Kerian.
Dalam pertarungan sengit antara Panglima Yu dengan Dato’ Muhamad Ali habis senjata-senjata di badan dipergunakan oleh mereka berdua sehingga akhirnya Panglima Yu terpaksa menggunakan kayu-kayu kapal sahaja membalun Dato’ Muhamad Ali. Dato’ Muhamad Ali tergelincir dan jatuh ke dalam air tetapi cepat-cepat ia mendaki semula ke dalam perahunya dan mencapai sebatang lembing panjang lalu di tikamnya paha Panglima Yu. Lembing sesat di tangan Dato’ Muhamad Ali menembusi daging lembut di paha Panglima Yu, lalu cepat-cepat meminta anak buahnya melarikan diri naik ke tanah besar di Kuala Sala. Angkatan Tunku Muhamad Saad turut mengejar tetapi tidak sempat hendak menangkap Panglima Yu kerana Panglima itu mengarahkan orang-orangnya berkayuh habis-habisan di dalam kelam malam itu. Mengikut cerita, angkatannya telah sampai di Bukit Pinang. Apabila hari telah siang, angkatan Tunku Muhamad Saad mengepong Bukit Pinang dan menangkap Panglima Yu serta orang-orangnya, membawa mereka balik ke Pulau Songsong ke hadapan Tunku Muhamad Saad.
Askar-askar Siam di Kuala Kedah dan ditempat-tempat lain di Kedah sedikit pun tidak memberi perhatian kepada Panglima Yu yang terlibat dalam drama kejar mengejar sepanjang hari ini seolah-olah pergaduhan yang berlaku hanya antara orang Melayu dengan orang Melayu sahaja, bukan membela kepentingan Siam. Dengan susah payah Panglima Yu dan orang-orangnya di tawan dan di bawa ke Pulau Songsong.
Di Pulau Songsong Panglima Yu dan orang-orangnya cuba melawan, jadi mereka terpaksa diikat. Tempat Panglima Yu tak dapat diikat kerana tersangat tangkas walaupun pahanya mengalir darah hingga ke tumit. Mukanya bengis memandang orang-orang Melayu yang cuba menundukkannya. Di dalam kelangkabut yang timbul akibat beberapa orang pengikut Panglima Yu telah terlepas naik ke perahu mereka melarikan diri. Tunku Muhamad Saad terpaksa mengeluarkan hukuman supaya pengkhianat-pengkhianat Negara ini dibunuh saja. Bagaimanapun telah ramai orang-orang Melayu yang setia telah terkorban masa sedang tidur semalam dibunuh curi oleh orang-orang ini.
Satu keanihan berlaku apabila Panglima Yu tak dapat dipengapakan kerana kulitnya keras dan tulangnya sasa seperti besi. Hanya lembing sesat seperti yang di capai oleh Dato’ Muhamad Ali tadi saja dapat melukakan Panglima Yu. Tunku Muhamad Saad teringatkan petua guru lama-lama akan satu cara yang boleh mempengapakan orang yang kahar berkulit kebal seperti ini, iaitu dengan memaksanya menjilat besi panas. Beliau mengeluarkan arahan supaya sekeping mata cangkul dibakar hingga merah kemudian memaksanya menjilat mata cangkul itu. Ramai orang yang mendengar Panglima Yu berteriak kesakitan dan melafazkan taubat, “Aku bertaubat, aku bertaubat tak mahu menyebelahi kafir lagi”. Tetapi nyata telah terlambat kerana Malik-al-Maut telah merentap nyawanya ketika itu juga dan pintu taubat untuknya sudah pun tertutup rapat.
Panglima Barim terbunuh lebih awal lagi dari Panglima Yu dan kubur mereka berdua masih ada di Pinggang Pulau Songsong, di atur bersama-sama dengan perajurit-perajurit lain yang menjadi mangsa mereka-Di atur bersama kerana semuanya Islam.
Kredit : FB Page Nota Sejarah Melayu
Panglima Barim terbunuh lebih awal lagi dari Panglima Yu dan kubur mereka berdua masih ada di Pinggang Pulau Songsong, di atur bersama-sama dengan perajurit-perajurit lain yang menjadi mangsa mereka-Di atur bersama kerana semuanya Islam.
Kredit : FB Page Nota Sejarah Melayu
No comments:
Post a Comment